Photobucket

Friday, May 16, 2008

‘Aku Tidak Peduli’sma Ideologi Siswazah Jumud & Tidur

ISLAM AGAMA KEKITAAN

Rasulullah SAW diutuskan oleh Allah SWT membawa syariat Islam yang bersifat undang-undang bersama. Islam menukar manusia yang ananiah kepada kekitaan, merasa bersama antara satu sama lain sebagai satu ummah. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka hendaklah kamu memperelokkan di antara dua saudaramu…” (Al-Hujurat 49 : 10)

Sabda Nabi SAW:

“Perumpamaan orang yang beriman di dalam berkasih-kasihan sesama mereka, rahmat merahmati dan sayang menyayangi, adalah seumpama satu jasad. Apabila satu anggota mengeluh, ia memberi kesan kepada seluruh jasad sehingga berjaga dan demam”.

Islam juga menekankan kepentingan hidup bergaul dan memelihara hubungan silaturahim sesama umat. Sabda Nabi SAW:

“Seorang mukmin yang bercampur gaul dengan orang ramai dan bersabar di atas kesakitan yang dirasai daripada mereka adalah lebih baik daripada seorang mukmin yang tidak bercampur gaul dan tidak sabar dengan kesakitan yang dirasai daripada mereka (akibat pergaulan itu)”.

Bahkan Nabi SAW memberikan peringatan berupa ancaman kepada mereka yang mengenepikan sensitiviti dan sikap mengambil berat sesama mukmin dengan sabda Baginda SAW:

“Barangsiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan orang-orang Islam, maka bukanlah dia itu dari kalangan mereka”.

Memutuskan silaturahim dan meninggalkan tuntutan ukhuwwah menjadi kekejian yang besar di dalam Islam. Sabda Nabi SAW:

“Dan janganlah kamu memutuskan (silaturahim), janganlah merancang kejahatan sesama kamu, janganlah benci membenci dan jangan saling berhasad. Jadilah kamu wahai hamba-hamba Allah bersaudara. Tidak halal bagi seorang muslim meninggalkan saudaranya lebih dari tiga (hari)”

Bukan sahaja di dalam perhubungan sosial, bahkan di dalam ibadah yang zahirnya bersifat peribadi, turut dianjur dan ditegaskan kepentingan melaksanakannya secara berjemaah. Solat seharian dan solat Jumaat bagi kaum lelaki, kewajipan mengeluarkan zakat sebagai imbangan ekonomi dan banyak lagi cabang ibadah, menggambarkan betapa Islam sangat menekankan agar penganutnya hidup bermasyarakat.

SISWAZAH DAN TANGGUNGJAWAB SOSIAL

Siswazah adalah belia pelajar terpilih. Mereka adalah kelompok pemikir, pengkaji, pencetus dan penjana idea baru lantas sekali gus memikul tanggungjawab sosial yang besar. Tanpa perlu dirangka logiknya, siswazah sudah sedia memahami bahawa mereka adalah elemen yang berkesan di dalam menyampaikan kehendak dan mesej perubahan, sama ada dari pihak masyarakat, mahu pun oleh pihak pemerintah sendiri.

Jika siswazah mendukung dasar kerajaan, ia bermakna dasar itu menuju masa depan yang mantap dan cemerlang. Sekiranya siswazah bangkit memimpin desakan masyarakat, maka perubahan yang besar boleh tercetus di dalam sebuah negara. Contoh-contoh masyhur mahasiswa di negara-negara seperti China, Korea dan blok Eropah Timur, mahu pun di negara umat Islam seperti Indonesia, Turki dan negara-negara Arab Afrika Utara, siswazah telah pun memperlihatkan bahawa suara mereka adalah suara bertenaga, berprinsip dan mesti diberi perhatian.

BAGAIMANA MEREKA BEGITU EFISYEN?

Sudah tentu peranan besar yang dimainkan oleh siswazah itu, bermula dari sikap-sikap dan pendirian yang istimewa. Selain dikurniakan minda cemerlang yang dipupuk, mereka juga adalah kelompok yang sensitif dengan perubahan, tegas berhadapan dengan penyelewengan serta bersemangat menuju kebaikan dan pembelaan.

Tidak mungkin siswazah dapat mendukung aspirasi umat jika mereka itu lesu, ananiah, takut dan hidup berteman bayang-bayang.

MANAKALA YANG LESU…

Telinga siswazah Malaysia dewasa ini lazim disogokkan dengan keluhan bernada sinis, bahawa mereka kini sudah tidak sehebat dulu, mereka tidak lagi menjadi menara tempat suara rakyat dinobat, tidak lagi bertindak selaku pembela, bahkan hanya mengukur kecemerlangan dengan segulung ijazah, yang kualitinya turut dipertikaikan. Kelesuan siswazah adalah sebuah permainan yang bernatijahkan kekalahan tanpa ada pihak yang mendapat manfaat dan menjadi pemenang.

Lantas bedah siasat serius diusahakan oleh semua pihak. Di pihak mahasiswa tempatan, mereka menjadikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sebagai punca utama. AUKU adalah perancangan yang bertujuan mematahkan taring mahasiswa, melesukan mereka, dan menjadikan mereka kelompok yang hanya menurut perancangan, tanpa ada kemampuan merancang.

Manakala siswazah Malaysia di Timur Tengah, mempunyai alasan mereka sendiri. Suasana politik tempatan di negara-negara seperti Jordan, Mesir, Syria dan Arab Saudi (sekadar menyebut beberapa contoh), dianggap sebagai halangan kepada mahasiswa untuk bergerak aktif melaksanakan tugas yang terpikul di bahu mereka.

Sejauh manakah benarnya tanggapan itu? Bagi pelajar yang berada di Timur Tengah seperti Jordan, Mesir dan Arab Saudi, tentunya tidak adil bagi kita untuk membuat ulasan kerana ia hanya sebuah pandangan dari luar, sedangkan “ahli Mekah lebih mengenali lorong-lorongnya”. Maka skop perbincangan kita lebih menjurus kepada realiti setempat iaitu di United Kingdom dan Republik Ireland.

Sejak sekian lama, United Kingdom dan Ireland menyaksikan kehadiran beramai-ramai pelajar Malaysia ke gelanggang pengajian di sini. Pelbagai catatan menarik tentang turun naik gerakan pelajar boleh dicatat. Akan tetapi era selepas ‘War on Terror’ ekoran peristiwa 11 September 2001 di New York memperlihatkan bagaimana senario politik tempatan berubah terutamanya yang melibatkan umat Islam yang berada di sini. Kebebasan yang selama ini menjadi simbol gerakan Islam termasuk gerakan pelajar di United Kingdom dan Republik Ireland memerlukan takrifan baru. Rentak gerak pelajar terpaksa diubah suai agar memenuhi dua syarat iaitu:

  • Bergerak di dalam lingkungan peruntukan undang-undang tempatan yang sewajarnya dihormati dan dipelihara.
  • Terus berkesan di dalam menjalankan peranan masing-masing di dalam lingkungan berkenaan.


RISIKO MENONGKAH ARUS…

Ia ditambah pula dengan perkembangan yang memperlihatkan tekanan yang dikenakan kepada golongan pelajar yang ‘menentang arus’. Ada gerakan pelajar yang menerima hukuman pihak berkuasa dan ia menjadi anjakan paradigma kepada senario aktiviti siswazah di sini.

Jika dahulu, kita melihat gerakan pelajar begitu matang menangani sebarang isu dan perkembangan semasa. Kebijaksanaan siswazah sebagai golongan yang sudah layak mengundi, menjadikan ‘latihan berpolitik’ mereka melalui wadah masing-masing telah menghasilkan ramai golongan yang pada hari ini menjadi generasi pendokong kepimpinan di tanah air yang segar dan berwibawa. Perbezaan fahaman politik diketengahkan ke gelanggang diskusi, forum umum, majlis debat dan lain-lain aktiviti secara ilmiah, ber’isi’ dan menghasilkan pulangan yang lumayan kepada penghasilan generasi pemimpin masa hadapan.

Contoh relevan adalah majlis dialog anjuran Forum Malaysia United Kingdom dan Eire (FMUKE) di Liverpool pada Oktober 1998. Kebebasan berfikir dan menyuarakan pandangan menyaksikan wakil pelajar yang menyokong PAS, ABIM dan JIM yang menjadi teras gagasan berkenaan, boleh duduk sepentas dengan TYT Duta Besar Malaysia ke United Kingdom sebagai wakil kerajaan. Mereka berdialog secara profesional, membincangkan isu paling sensitif di negara kita iaitu Internal Security Act (ISA). Semestinya budaya berlapang dada dan berdiskusi semacam ini sudah tinggal kenangan. Siswazah paling cemerlang yang berada di United Kingdom dan Republik Ireland hari ini menganuti pelbagai dilema psikologi apabila masuk ke gelanggang gerakan pelajar, dan ia hanyalah refleksi kepada dilema yang berakar umbi di tanah air itu sendiri.

Semenjak peristiwa reformasi jalanan pada tahun 1998, pelbagai perubahan dapat dilihat di dalam kematangan rakyat berpolitik dan melukis perubahan serta pembaharuan. Pada pilihanraya tahun 1999, kita melihat pelbagai badan yang wujud di United Kingdom dan Republik Ireland mengeluarkan kenyataan media yang membanjiri internet dan saluran media lain. Jika dahulu, siswazah di Timur Tengah kelihatan agak ketinggalan di dalam mengeluarkan kenyataan-kenyataan akhbar berbanding rakan aktivis di United Kingdom, Republik Ireland, Amerika Syarikat, Jepun dan sebagainya. Akan tetapi pada pilihanraya 2004 baru-baru ini, media hampir-hampir tidak menyaksikan gelombang berkenaan. Sama ada yang menyokong parti pemerintah, mahu pun pakatan pembangkang, jelasnya tiada seruan yang dibuat sedangkan kenyataan media itu dibaca oleh falsafah penyiaran sebagai ukuran keprihatinan siswazah luar negara kepada isu tanah air.

Apa yang ketara dilihat dewasa ini, adalah berkembangnya kelompok mahasiswa yang tidak aktif berorganisasi. Sebarang persatuan yang menganjurkan pelbagai program, menyaksikan kehadiran peserta yang mendukacitakan. Senarai tinggi program yang tidak mendapat sambutan adalah program ilmiah seperti diskusi buku, seminar, kuliah pengajian agama dan forum. Begitu juga dengan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) persatuan universiti dan badan pelajar, adalah terlalu sukar untuk mengumpulkan pelajar. Setakat pemerhatian yang dibuat, program yang masih terus mendapat sambutan adalah perlawanan bola sepak, Majlis Malam Malaysia dan lain-lain yang lebih berbentuk ‘mencari kerehatan minda’ dan bukannya ‘mencungkil tanggungjawab akal’.

Semua ini adalah fenomena, yang tersimpul di dalam sepatah kalimah. Ia mewakili sindrom jangkitan ke atas minda siswazah iaitu AKU TIDAK PEDULISMA atau di dalam Bahasa Arabnya disebut sebagai اللا أبالية !

1 Comment:

Anonymous said...

yazıların içerikleri güzel


dokuma

blogger templates 3 columns | Make Money Online